Penemuan semula dan penggalian Mohenjo-daro

Mohenjo-daro dibina sekitar tahun 2600 SM tetapi dikosongkan sekitar tahun 1500 SM. Pada tahun 1922, kota ini ditemui semula oleh Rakhaldas Bandyopadhyay,[2] seorang pegawai Archaeological Survey of India. Beliau dibawa ke guar itu oleh seorang sami Buddha yang mempercayai bahawa guar tersebut adalah sebuah stupa. Pada 1930-an, kerja penggalian besar-besaran dijalankan atas kepimpinan John Marshall, K. N. Dikshit, Ernest Mackay, dan lain-lain lagi.[3] Kereta John Marshall yang digunakan oleh para pengarah tapak masih berada di muzium Mohenjo-daro sebagai tanda memperingati pergelutan dan dedikasi mereka kepada Mohenjo-daro. Kerja penggalian selanjutnya dijalankan oleh Ahmad Hasan Dani dan Mortimer Wheeler pada tahun 1945.

Penggalian besar terakhir di Mohenjo-daro dipimpin oleh Dr. G. F. Dales pada tahun 1964-65. Selepas itu, kerja penggalian di situ dilarang kerana kerosakan yang dialami oleh struktur-struktur yang terdedah akibat keadaan cuaca. Sejak tahun 1965, hanya projek penggalian saki-baki, pantauan permukaan dan pemuliharaan dibenarkan di situ. Sungguhpun projek arkeologi besar dilarang, namun pada 1980-an, pasukan-pasukan peninjau dari Jerman dan Itali terajuan Dr. Michael Jansen dan Dr. Maurizio Tosi, menggabungkan teknik-teknik dokumentasi seni bina, tinjauan permukaan, mengikis dan mencungkil permukaan dan lain-lain, digunakan untuk menentukan bayangan selanjutnya mengenai tamadun kuno tersebut.[4]

Lokasi

Mohenjo-daro terletak di Sindh, Pakistan di sebuah rabung zaman Pleistosen di tengah-tengah dataran banjir Sungai Indus. Rabung tersebut kini tertimbus oleh pembanjiran dataran berkenaan, tetapi menonjol sekali pada zaman Tamadun Lembah Indus. Rabung tersebut membolehkan kota Mohenjo-daro berdiri di atas dataran sekelilingnya. Tapak tersebut terletak di tengah-tengah jurang di antara lembah Sungai Indus di barat dan Ghaggar-Hakra di timur. Sungai Indus masih mengalir ke timur tapak itu, tetapi dasar sungai Ghaggar-Hakra kini sudah kering.[5]

Pembangunan manusia selama bertahun-tahun dipercepatkan oleh keperluan meluaskan ruang. Rabung tersebut diluaskan menerusi platform bata lumpur gergasi. Akhirnya, penempatan tersebut meluas begitu besar sehingga ada binaan yang mencecah 12 meter atas paras dataran masa kini, dan dengan itu jauh lebih tinggi daripada ini atas dataran zaman purba.[6]